Sunday, 2 December 2012

Seni melafazkan cinta


Zaman bercinta memang semuanya indah-indah belaka. Boleh dikatakan hampir setiap hari ingin berjumpa, jika tidak pasti rindu menguasai menjadikan semua yang dilakukan serba tak kena. Namun, sebaik melangkah ke alam rumah tangga, perkara serupa itu jarang sangat terjadi.
Mungkin di awal perkahwinan, semuanya berjalan dengan lancar tetapi sebaik melangkah ke fasa seterusnya, mulalah sedikit demi sedikit bibit ketidaksamaan akan terjadi. Sebenarnya, itu semua adalah lumrah yang biasa berlaku dalam kehidupan suami isteri.
Cepat cepatlah selesaikan dan cari jalan penyelesaian. Ketahuilah bahawa pasangan cukup suka dengan kata-kata aku cinta padamu. Jadi, ungkapkanlah selalu terutamanya di waktu-watu berikut kerana mengungkapkan cinta pun ada seninya:

Bangun dari tidur
Lazimnya, sebaik bangun tidur, mata anda pasti tertancap ke wajah pasangan yang mungkin masih nyenyak dibuai mimpi. Apa kata bangkitkan lenanya dengan kucupan dan lafaz aku cinta padamu. Pasti dirinya lebih bersemangat untuk melalui hari tersebut hanya kerana satu tindakan dan ucapan ‘keramat’ daripada anda.
Secara tidak langsung, ungkapan ini juga membuatkan anda dan pasangan akan merasakan diri lebih dihargai dan disayangi

Keluar ke tempat kerja 
Jangan letih untuk mengulang ungkapan yang sama. Mungkin ada yang mengatakan ia jadi kurang istimewa apabila diucap sentiasa tetapi sebenarnya tidak. Sama ada anda atau pasangan, pasti suka menerima ucapan aku cinta padamu bukan.
Oleh itu, praktikan kata-kata ini sewaktu ingin keluar dari rumah. Sebaiknya ketika isteri mengucup tangan suami atau suami mengucup dahi isteri, susulilah dengan ungkapan tersebut. Tentu, semangat dan kesungguhan anda untuk bekerja semakin menjadi-jadi.

Berhubung di telefon mahupun laman sosial
Waktu bercinta dahulu, telefon bimbit adalah sahabat yang paling akrab. Hampir setiap masa jejari pantas menekan punat-punat nombor serta aksara yang tertera.
Bahagianya tidak terkata tatkala menghantar atau menerima khidmat pesanan ringkas dari yang tercinta. Apa kata teruskan ‘tradisi’ tersebut hingga ke alam perkahwinan.
Pasti lebih menyeronokkan. Lebih elok jika dikekalkan ungkapan ''i love you'' di setiap kali mengakhiri perbualan di talian atau khidmat pesanan ringkas.

Berada di meja makan
Boleh dikatakan, ramai pasangan kurang peka untuk menghargai pasangan hidup masing-masing. Menyentuh kembali soal cinta dan kasih sayang, ia bukan hanya berlangsung di kamar tidur semata-mata bahkan di mana-mana sahaja.
Sebagai contoh, ketika bersedia untuk makan malam, sebaik-baiknya hadiahkan ucapan terima kasih dan katakan bahawa anda amat mencintai dirinya. Jangan malu diperhatikan anak-anak kerana ia sebenarnya terapi untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.

Sebelum dan selepas berasmara
Seks dan perkahwinan tak mampu dipisahkan. Secara tidak langsung ia adalah ekspresi cinta dari anda terhadap pasangan. Yang pasti, hanya momen-momen indah sahaja diimpikan.
Kata-kata pujian mahupun penghargaan adalah ‘mukadimah’ hebat yang boleh dilakukan sebelum acara lebih lanjut diteruskan. Selepas itu, barulah diselitkan sedikit pujukan, belaian dan yang paling penting ungkapan cinta anda yang tidak terhingga kepadanya.


Ulang perkara yang sama biarpun ‘acara’ telah berada di garisan penamat. Hasilnya, masing-masing akan merasakan bahawa pasanganlah jodoh yang paling baik buat dirinya sekali gus berazam untuk meletakkan rumah tangga di tempat yang paling istimewa.

Petikan~~Wanita

No comments:

Post a Comment