Friday, 19 October 2012

~6 cara romantik dengan isteri~


6 cara romantik dengan isteri

Wanita cukup terkenal dengan kecantikan, kelembutan dan kehalusan perlakuannya. Pastinya, sifat-sifat inilah yang membuatkan lelaki tergoda dan lemah apabila bertentang mata.
Oleh itu tidak hairanlah jika mereka sentiasa mengimpikan satu layanan yang mesra, manja dan penuh kasih sayang dari pasangan yang dicintai sepenuh hati. Tak kiralah usia perkahwinan sudah menjangkau puluhan tahun, perkara romantik tetap diharapkan sepertimana yang pernah dilalui ketika bergelar pengantin baru.
Tetapi, tidak semuanya bertuah kerana semakin lama bersama, semakin banyak pula kekurangannya. Kebanyakan isteri sukar berterus-terang dengan suami agar bersikap romantik kepadanya. Tak usahlah selalu, sekali-sekala pun tidak mengapa asalkan ia masih dipraktikkan selama mana melayari perkahwinan.
Hakikatnya, impian isteri ini bukanlah sesukar mana pun. Setakat keluar makan malam bersama, jalan berpimpin tangan mahupun kucupan mesra sebelum keluar dari rumah. Rasanya semua itu mudah sahaja dilakukan.
Bagaimanapun hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Mungkin dengan langkah pertama mampu membuahkan langkah-langkah seterusnya. Buat lelaki yang bergelar suami, bersikap romantiklah kepada isteri. Sekalipun tidak diminta tetapi itulah yang membuatkan pasangan anda bahagia.

Lafaz I Love You

Kalau masa bercinta dahulu, ucapan I Love You pasti jadi perkataan yang wajib disebut kepada pasangan. Tak kiralah dalam telefon atau setiap kali berjumpa, ia seakan ‘pakaian’ yang harus digunakan sepanjang masa.
Tetapi setelah berumah tangga, perkataan ini cukup jarang kedengaran. Apatah lagi apabila perkahwinan sudah masuk ke peringkat senja. Malu bila ingin mengucapnya. Sebenarnya, apa yang diingini isteri adalah ucapan tersebut keluar dari mulut suaminya.
Walaupun bukan setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan tetapi ucapan tersebut masih relevan dalam perkahwinan mereka. Memanglah perasaan kasih dan cinta itu telah dizahirkan melalui perbuatan tetapi bagi wanita ia masih belum lengkap dengan luahan kata-kata.
Bukannya payah pun. Bisikkan sahaja perkataan I Love You ke telinganya. Itu pun sudah menampakkan sikap-sikap romantik anda.

Tak salah panggil ‘Sayang’

Benarlah kata orang bahawa waktu bercinta dan berumah tangga memang banyak perbezaannya. Kalau dahulu, macam-macam panggilan keluar dari mulut. Sekejap sayang, sekejap ‘abang’, sekejap ‘darling’, sekejap ‘honey’.
Semuanya bagi menampakkan betapa sayangnya anda pada pasangan di ketika itu. Namun setelah berkahwin, panggilan yang lazim kedengaran ialah nama isteri sahaja. Itu pun kadang-kadang dengan nada yang keras.
Apa salahnya gunakan gelaran di zaman bercinta setelah mendirikan rumah tangga. Gunakan panggilan sayang untuk berinteraksi dengan pasangan. Sudah pasti bergetar jantungnya mendengar panggilan yang jarang-jarang keluar dari mulut anda.

Ciuman yang tidak disangka

Walaupun zaman bercinta telah lama berlalu dan perkahwinan mencapai usia belasan tahun tetapi isteri tetap isteri. Hati mereka tak pernah berubah walaupun sedetik. Perhatian dan kasih sayang sentiasa didambakan dari suami yang dicintai. Mudahnya, semua itu boleh diluahkan dengan ciuman, apatah lagi jika ‘dihadiahkan’ secara spontan.
Pastinya, ciuman tersebut akan mengembalikan segala nostalgia ketika melalui zaman bercinta. Mungkin ketika isteri sedang memasak di dapur atau mengikat tali leher anda, ciuman itu boleh dikucup ke dahinya. Romantik bukan!!

Hadiah baju tidur

Sejauh mana berdikari pun seorang isteri tetapi mereka tetap mengharapkan perhatian dan belaian dari suami yang dicintai. Terutamanya dalam hal yang tidak suami lakukan kepada wanita-wanita lain. Sebagai contoh pemilihan baju tidur. Tidak dinafi kan, isteri boleh membelinya sendiri tetapi lebih bermakna dan bernilai’ apabila suami yang memilih dan menghadiahkannya. Secara tidak langsung, suami telah memberitahu mengenai cita rasanya.

Romantik bila berpegangan tangan

Mungkin segelintir suami menganggap, berpegangan tangan dengan isteri ketika keluar berjalan-jalan adalah satu perkara yang remeh. Malah tak kurang juga yang malu untuk melakukannya lebih-lebih lagi apabila usia makin meningkat. Bimbang dikata orang buang tabiat.
Tetapi sebenarnya, inilah kemesraan yang mudah dilakukan. Sekalipun sudah beranak pinak tetapi budaya berpimpin tangan tidak pernah dilupakan. Bagi isteri, berpimpin tangan menunjukkan betapa prihatinnya suami terhadap keselamatan isterinya malah di situ juga mencambahkan kasih sayang.
Malah Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang membawa maksud “Apabila pasangan suami isteri berpegangan tangan maka luruhlah dosa-dosa di celah-celah jari mereka.”

Telefon dan pesanan ringkas cipta hubungan bahagia

Isteri yang bekerja pastinya tertekan dengan bebanan tugas dan fail yang bertimbun di atas meja. Tetapi bila nama suami tertera di skrin telefon, seakan hilang segala tekanan yang dirasai. Apatah lagi, panggilan tersebut di luar jangkaan malah topiknya juga menunjukkan keprihatinan suami kepada anda.
Cara ini benar-benar membuatkan isteri rasa dirinya dihargai dan diperlukan. Walaupun perbualan berdurasi sepuluh minit tetapi kesannya terasa sepanjang hari. Mudah bukan. Tidak banyak pembaziran yang berlaku malah ia berupaya meningkatkan perasaan kasih dan cinta di hati masing-masing. Amalkanlah agar rumah tangga anda sentiasa aman dan bahagia.

Petikan~~Wanita

No comments:

Post a Comment